Scha Alyahya Tengah Laku

AKTRES tinggi lampai ini boleh dikatakan antara bakat baru tempatan yang cukup bertuah apabila sering kali menjadi perhatian penerbit dan pengarah filem.

Apatah lagi selepas bergelar Dewi Remaja 2006, laluan seni Scha Alyahya begitu mudah sehingga dia mampu sebaris dengan barisan aktres popular negara yang lain.

Untungnya Scha apabila dia dikurniakan dengan pakej lengkap – ketinggian dan paras rupa yang lembut dan menawan membuatkan Scha antara daya penarik untuk penonton menonton lakonannya sama ada dalam filem mahupun drama.

Bayangkan, hanya dalam tempoh empat tahun, wanita kelahiran Sungai Petani, Kedah itu sudah membintangi tujuh filem dan lebih 10 buah drama.

Tidak keterlaluan jika dikatakan ia merupakan satu pencapaian luar biasa untuk bintang baru seperti Scha.

Sedang enak diuliti populariti, nampaknya bakat lakonan Scha dipertikaikan lantaran watak yang sering diberikannya tidak banyak berubah.

Dalam erti kata lain, mutu lakonannya tidak menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan sekali gus Scha dilabelkan sebagai pelakon stereotaip.

Lihatlah sahaja watak-wataknya dalam drama bersiri Bella, Awan Dania dan Mimi Mencari Cinta serta filem-filem seperti Evolusi KL Drift 2, Libas dan terbaru, Aku Bukan Tomboy.

Sama ada watak gadis tomboy, wanita cemerkap mahupun berperwatakan kasar, memang watak itu yang sering diberikan kepadanya sehingga ia sudah menjadi sinonim dengan Scha.

Secara tidak langsung, ia memperlihatkan Scha mempamerkan lakonan yang sama, statik dan tidak banyak bezanya dengan perwatakan dirinya yang sebenar.

Apakah ini menunjukkan Scha bukan seorang pelakon yang bagus dan hanya bersandarkan paras rupa semata-mata?

Berpeluang bertemu dengan aktres popular ini, Hits tidak menunggu lama untuk bertanyakan soalan tersebut kepadanya.

Ternyata soalan itu telah mengundang rasa kurang selesa kepada Scha sehingga lontaran suaranya kedengaran sedikit tinggi.

“Setakat ini saya belum pernah mendengar lagi seperti apa yang anda katakan. Oleh itu, adalah lebih baik untuk saya tidak menjawab soalan itu.

“Apa yang boleh saya katakan di sini ialah masyarakat boleh berkata apa sahaja tentang saya. Tetapi untuk saya mengambil kisah dan peduli akan hal itu, sudah pasti tidak,” kata Scha atau nama penuhnya, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya.

Scha sebaliknya lebih selesa melihat pandangan orang ramai yang mengatakan dirinya seorang aktres stereotaip dari sudut positif.

Dia mengakui tidak dapat lari daripada perwatakan sama yang acap kali diberikan kepadanya. Tetapi dia melihat itu sebagai kekuatan yang dimiliki untuk ditonjolkan kepada khalayak.

“Kalau hendak mengatakan hanya seorang sahaja yang berlakon seperti itu, memang tidak adil. Saya merasakan ada juga pelakon yang sering membawakan watak yang juga sama.

“Saya pun masih baru dan perjalanan masih lagi panjang tetapi saya tidak menafikan yang saya sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap lakonan saya.

“Malah, saya juga melihat tiada salahnya untuk saya berterusan membawakan watak seperti itu seandainya itu yang diinginkan oleh pengarah dan penerbit,” kata Scha yang juga pernah membintangi filem Papadom dan Histeria.

Wanita berusia 28 tahun itu memberitahu, dia sentiasa mencari peluang untuk mempelbagaikan lagi watak dan lakonannya di masa hadapan.

Namun kata Scha, semuanya bergantung kepada pengarah dan penerbit.

“Berlakon adalah rezeki dan mata pencarian saya. Jadi, selagi ada permintaan untuk saya membawakan watak seperti itu, saya tiada sebarang masalah,” ujar Scha yang pernah dicalonkan untuk Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-22 (2009) bagi filem Histeria.

Dalam pada dia menelan segala kritikan yang dilemparkan kepadanya, wanita itu mengakui bukan senang baginya untuk membawakan watak terbabit walaupun dikatakan stereotaip..

Baginya, segala kritikan adalah asam garam industri seni yang perlu dilaluinya sebagai seorang pelakon. Untuk itu, dia menerimanya dengan hati terbuka.

“Selagi saya berada dalam industri,

saya akan terus berusaha untuk memperbaiki lagi mutu lakonan dari masa ke semasa.

“Saya tetap berterima kasih kepada mereka yang mengkritik kerana ini menunjukkan mereka mengikuti perjalanan seni saya dari awal sehingga kini,” katanya.

Meskipun ada yang seperti kurang selesa dengan perwatakan dirinya yang sebenar, tetapi sebagai seorang artis kata Scha, dia tidak mampu memuaskan hati semua pihak.

Apa yang penting baginya adalah untuk dia sendiri berasa selesa dengan caranya dan bekerja dalam suasana tenang serta positif.

“Saya tidak mahu bertindak hipokrit dan menjadi orang lain di belakang tabir kerana ia hanya akan mengelirukan peminat.

“Apa yang peminat lihat di kaca televisyen, memang begitulah perwatakan saya di dunia luar. Saya berharap peminat dapat menerima dan menghargai siapa saya yang sebenar walaupun mereka hanya mengenali saya melalui lakonan saya.

“Saya berterima kasih kepada pihak yang terus menerus memberikan kepercayaan dan menyediakan pelbagai ruang untuk saya mengembangkan lagi bakat yang ada,” jelasnya yang pernah mengacarakan program realiti Sehati Berdansa bersama kekasihnya, Awal Ashaari.

sumber: utusan.com.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Incoming search terms:

  • biodata lengkap awal ashaari
Sumber
Iklan teks [RM7]: MENCARI DUIT SAMPINGAN? Peluang anda ada disini lihat di www.d2o4all.com/kaluduitmasyuk anda akan dibantu. Sertai sekarang!! 
Terbaek dari GuaBlog.com, Amekaw!