Bieber lebih matang menuju dewasa

JUSTIN Bieber akhirnya meluahkan pandangannya mengenai seks, dadah dan agama Bintang pop yang akan meraikan hari jadinya yang ke 18 tidak lama lagi, turut bercerita mengenai tekanan menjadi dewasa dalam perhatian orang ramai, kepada majalah V Amerika.

“Orang ramai perlu tahu, saya bukan budak-budak lagi,” katanya dan menambah dia juga “belum cukup dewasa” lagi.
“saya masih belajar.

“Saya tak akan menjadi seperti apa yang orang ramai mahukan, atau keluar dan berpesta, dilihat dengan minuman keras. Saya mahu lakukan hidup dengan cara saya,” katanya.

Walaupun dia mungkin meningkat dewasa, dia tidak akan menukar imej bersihnya.

“Saya tak mahu menyanyi mengenai perkara seperti seks, dadah atau menyumpah,” kata penyanyi kacak yang bercinta dengan Selena Gomez.

“Saya lebih kepada cinta, mungkin saya akan menyanyi lebih banyak lagu cinta apabila dewasa nanti. Tapi, saya mahu menjadi seorang yang dihormati oleh semua orang,” katanya.

Walaupun baru-baru ini dia membuat tattoo Nabi Isa di kakinya, dia menegaskan, “Saya tak rasa saya seorang yang kuat beragama. Sudah lama saya tidak ke gereja.”

Penyanyi remaja itu menjadi tajuk utama kerana tattoo wajah Nabi Isa di betisnya.

Bieber mengaku walaupun dia tidak selalu pergi ke gereja, dia sentiasa “berbual”: dengan Tuhan ketika bersendirian.

“Saya tak rasa saya seorang yang kuat agama. Saya spiritual,” kata Bieber kepada majalah fesyen itu.

“Saya percaya Nabi Isa mati di salib kerana dosa saya. Saya percaya Dia yang letak saya dalam situasi ini dan saya mesti memujiNya kerana meletakkan saya di sini.

“Tapi saya tak merasakan saya seorang yang taat. Ramai orang yang tak taat, dan saya rasa mereka sesat. Mereka pergi ke gereja semata-mata kerana pergi ke gereja saja.

“Saya bukan tak hormat mereka – tapi apa-apa sajalah yang baik untuk mereka.

“Tapi bagi saya, saya fokus lebih kepada berdoa dan bercakap denganNya. Saya tak perlu pergi ke gereja,” katanya.

Bieber mengaku, “saya sudah lama tidak ke gereja tapi saya tahu saya ada hubungan denganNya. Saya bercakap dengannya dan itu mencukupi.”

Kini Bieber sedang menajamkan kemahirannya untuk menjadi peninju.

“Ya, saya bertinju. Saya dan kawan-kawan sentiasa bertinju,” katanya.

“Bapa saya seorang peninju dan dia mengajar saya perkara dewasa, dan dia seorang peninju yang hebat, jadi saya pun seorang peninju yang bagus juga,” katanya.

Dia turut membandingkan dirinya, seorang penghibur yang cuba mendapatkan penghormatan dengan peninju Floyd Mayweather Jr.

“Saya sekarang berada di atas dan semua orang mahu menjatuhkan saya. Semua orang mahu menarik saya dan mengambil tempat saya,” katanya.

“Seperti Floyd Mayweather, dia adalah peninju terhebat di dunia. Sekarang ini dia juara dan setiap kali dia keluar bertinju, orang ramai akan berkata, “Dia akan kalah kali ini.”

Kata Bieber, dia juga memandang peninju kontroversi itu sebagai sumber inspirasi untuk kekal dalam profesyennya.

“Floyd Mayweather berlatih setiap hari, walaupun bukan dalam musim perlawanan.”

“Apabila semua orang berehat, dia berlatih menumbuk beg penumbuk kerana dia mahu menjadi yang terbaik. Dia mahu menjadi lebih baik daripada Ali.”

“Secara jujur – saya muda dan saya tidak cukup disiplin. Kalau saya ada masa cuti, saya sepatutnya berada di studio tari tapi sebaliknya saya melepak dengan kawan-kawan saya.”

“Tapi nanti bila usia saya dalam 20-an, saya perlu berhenti dan bekerja keras seperti orang lain,” katanya.

Dia mengaku dia mempunyai cita-cita tinggi – sangat tinggi.

“Saya mahu menjadi seorang yang terbaik dalam bidangnya. Saya mahu yang terbaik. Di dunia,” katanya.

“Saya mahu melakukan lebih baik dari orang lain. Saya tak mahu orang ramai menganggap saya sebagai penyanyi remaja terkenal.

“Saya mahu bertukar dan menjadi yang terhebat,” katanya.

Bieber tahu ada orang yang payah untuk dipuaskan – tapi di yakin bakat yang dimiliki akan dapat menawan mereka yang membencinya.

“Ramai orang yang berkata mereka bencikan Justin Bieber, tidak pernah mendengar lagu-lagu saya,” katanya.

“Mereka benci saya kerana mereka benci diri saya. Muda dan kacak – saya bukan nak berlagak – tapi mereka fikir saya berada di tempat ini sebab itu.

“Saya rasa lebih banyak usaha, orang ramai akan faham yang muzik saya bagus. Saya tak bimbang mengenai peminat lelaki kerana mereka akan datang.”

Tambahnya, “Bukan kebetulan saya berada di sini. Saya di sini bersebab dan akan terus berada di sini.”

Dia juga berkata dia tidak bimbang dengan masalah menjadi terkenal pada usia muda sama seperti idolanya Michael Jackson.

“Kehidupan kanak-kanak Michael sangat teruk,” katanya. “Saya bertuah kerana zaman kanak-kanak saya sangat seronok.

“Mungkin Michael tertinggal banyak perkara ketika kanak-kanak jadi dia ingin mendapatkannya semula apabila sudah dewasa.

“Saya tak rasa saya kehilangan apa-apa. Saya tak bimbang,” katanya.

sumber: hmetro.com.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sumber
Terbaek dari GuaBlog.com, Amekaw!