Bolehkah Orang Bukan Islam SELAMAT Dari Neraka ? Ini Jawapan Dr Maza Yang MENGEJUTKAN !!!

Bolehkah Orang Bukan Islam SELAMAT Dari Neraka ? Ini Jawapan Dr Maza Yang MENGEJUTKAN !!! | Pernah tak kita terfikir apa yang jadi kepada rakan bukan Islam kita yang berakhlak mulia. Atau benarkah semua orang bukan Islam akan masuk neraka. Soalan: Ada ramai bukan muslim dalam dunia ini yang mati dalam keadaan tidak mengetahui tentang Islam. Mereka dianggap mati kafir. Mungkin juga mereka tahu tapi tidak faham tentang Islam. Apakah mereka tetap masuk nereka?

kafir

Jawapan Dr MAZA: Ini satu soalan yang penting. Ramai muslim menganggap sesiapa yang bukan muslim dalam dunia ini pasti akan masuk neraka. Ada beberapa perlara yang perlu kita ketahui dalam hal ini.

1. Hujjatul Islam Al-Imam al-Ghazali (w. 505H) dalam Faisal al-Tafriqah bain al-Islam wa al-Zandaqah menyebut tentang mereka yang diselamatkan dengan rahmat Allah dari hukuman azab nereka, antaranya beliau menyebut: “Aku katakan bahawa kebanyakan Kristian Rom dan Turki pada zaman ini termasuk dalam rahmat ini –dengan izin Allah- iaitu mereka yang berada di penghujung Rome dan Turki yang tidak sampai dakwah. Mereka itu tiga golongan; (golongan pertama) mereka yang tidak sampai kepada mereka nama Muhammad sama sekali. Mereka itu dimaafkan. (golongan kedua) mereka yang sampai kepada mereka nama Muhammad, sifat-sifatnya dan segala mukjizat (bukti) yang telah nyata.

Mereka ini berjiran dengan Negara Islam dan bergaul dengan kaum muslimin. Mereka ini kuffar yang nyata. (golongan ketiga) mereka ini antara dua keadaan. Sampai kepada mereka nama Muhammad s.a.w tetapi tidak sampai ciri dan sifatnya. Mereka sejak awal mendengar bahawa seorang pendusta yang mengelirukan bernama Muhammad telah mendakwa menjadi nabi…mereka ini pada pendapatku sama seperti golongan yang pertama. Mereka ini sekalipun mendengar nama Muhammad tetapi mereka juga mendengar apa yang bercanggahan dengan sifat-sifatnya. Ini tidak menggerakkan mereka untuk mencari kebenaran..”

Kenyataan al-Imam Ghazali ini sekalipun beliau bercakap pada zaman beliau tetapi juga memberi gambaran bahawa sesiapa sahaja yang tidak sampai hujah yang nyata tentang Islam sekalipun mengetahui nama Islam, tidak termasuk dalam golongan kafir yang layak dihukum neraka. Apatah lagi di zaman kita ini, di mana wajah Islam yang sebenar sering dikelirukan dan orang muslim juga sering bertindak mengelirukan orang lain tentang Islam yang sebenar. Tuhan Maha rahmat kepada sekelian hamba-hambaNYA.

2. Banyak hadangan yang telah dan sedang mendindingi cahaya yang hakiki Islam untuk sampai. Ini termasuk kemunduran negara umat Islam yang sentiasa porak-peranda, kelam-kabut, merusuh dan bergolak. Sikap buruk sesetengah orang muslim yang mendominasi keadaan lalu gagal menjadi contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat dunia. Ditambah media massa Barat yang memberikan wajah buruk tentang Islam; disokong pula oleh tindakan umat Islam sendiri. Lihat Iran yang menzalimi rakyatnya, Pakistan yang porak peranda dan menindas wanita dan Dunia Arab yang sentiasa korupsi dan menumpah darah antara satu sama lain. Kelompok-kelompok kononnya jihad yang mengebom di sana-sini.

Mereka semua itu telah menggunakan lencana ‘Islam’, jenama ‘Islam’, lambang ‘Islam’ sehingga Islam yang hakiki menjadi begitu suram dan kabur. Kesemua itu adalah gunung dan bukit yang menghalang cahaya keindahan Islam yang hakiki dari menembusi jiwa kebanyakan manusia hari ini. Maka, bukanlah satu keadilan jika Allah menghukum mereka di akhirat dalam keadaan demikian. Allah berfirman:

وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّامٍ لِلْعَبِيدِ
“Tidaklah tuhanmu itu zalim terhadap hambaNya” (Fussilat: 46).

3. Namun tidak dinafikan ada yang telah sampai penerangan yang jelas melalui jalan yang Allah kehendaki. Cuma, bukan semua berpeluang. Mungkin kita kata: mereka boleh cari Islam yang sebenar dalam internet. Malangnya, maklumat dalam internet juga bercampur baur antara yang benar dan yang palsu, antara yang indah dan buruk. Entah berapa banyak puak dan aliran dalam masyarakat muslim. Jika orang yang lahir dalam masyarakat Islam pun keliru, apatahlagi yang baru hendak mencari. Kemudian, bukan semua orang mempunyai kemampuan analisa.

Tidak pula semua mempunyai cukup masa. Ada ramai yang tua dan tidak berpendidikan yang cukup. Juga bukan semua yang sedar bahawa mereka tidak berada atas hidayah. Jika pada zaman dahulu, Salman al-Farisi mengembara dari Parsi untuk mencari Nabi dengan penuh dugaan dan derita, tapi berapa orangkah penduduk Parsi yang sanggup sepertinya?!!. Parsi hanya menerima Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w dengan sampainya tentera Umar bin al-Khattab ke sana. Jika Allah mewajibkan semua orang lakukan seperti Salman, pasti suatu bebanan yang tidak tertanggung oleh manusia.

2-6